“Perangai awak ni sebijik macam mak awak lah!... kalau dah marah semuanya terhambur terkeluar..."
Tapi pernah dengar tak, ungkapan-ungkapan seperti itu keluar dari mulut suami atau isteri?
Macam pernah dengar gitu ye...bagi sesetengah pasangan suami-isteri...
Pokok persoalan di sini bukanlah ungkapan-ungkapan tersebut. Tetapi sumber ungkapan-ungkapan tersebut.
Dari mana datangnya ye...?
Apakah penting untuk kita ketahui sumbernya?
Apa implikasinya terhadap rumahtangga yang bakal atau baru dibina?
Begini ceritanya…ianya ada kena-mengena dengan role-modeling.
Apabila kita berkahwin dengan seseorang, kita bawa sekali budaya hidup keluarga ibubapa kita ke dalam perkahwinan kita sendiri, tanpa kita sedari.
Begitu jugalah dengan pasangan kita. Dia pun bawak tabiat-tabiat, kebiasaan-kebiasaan keluarganya ke dala
Cakap mudahnya, bila kita kahwin dengan seseorang itu, perangai ibu atau bapanya, atau kedua-duanya sekali terdapat di dalam perangai pasangan kita itu.
Mahu tidak mahu, itulah suami atau isteri kita.
Apa nak buat...
Dia dah tinggal sebumbung dengan ibubapanya berpuluh tahun sebelum berkahwin dengan kita. Tentulah dia dibesarkan dengan budaya yang terbentuk dalam keluarga ibubapanya.
Dan ini ada pengaruh terhadap cara pasangan kita itu bertindak sebagai suami atau isteri kita. Begitu jugalah dengan kita sendiri.
Hah, sekarang bagaimana?
Pokoknya, dua-dua perlu sedar akan hakikat ini.
Kedua-dua perlu, secara sedar, membuat keputusan budaya manakah yang sesuai untuk mereka berdua. Bukan bulat-bulat dari salah satu pihak sahaja.
Kedua-dua perlu bertolak-ansur untuk melahirkan budaya dan identiti keluarga tersendiri.
Kalau gagal untuk akui wujudnya perbezaan ini, dan ...
...tidak mahu pula bertolak-ansur,
...tidak mahu mula saling belajar-mempelajari di antara satu sama lain,
...tidak mahu beralah,
...tidak mahu kalah....
maka...
...yang kalah nanti adalah kedua-duanya...
...akibat perang dayak yang boleh dielak dari mula...
Selepas malam pertama, setelah tinggal bersama, barulah kita tahu langit itu tinggi atau rendah.
Ada yang terkejut!
Ada yang gamam!
Ada yang demam!
Apa nak buat, dah takdir.
Dah jadi suami atau isteri kita.
Terima je lah.
Redha terhadap keputusan yang kita ambil. Pasti ada hikmah dan kebaikan di sebalik apa jua yang berlaku setelah kita jalankan segala usaha yang sepatutnya untuk buat keputusan yang terbaik mungkin.
Dah rezeki kita.
Setiap orang yang berkahwin, pasti mengalami perkara yang mungkin mengejutkan.
Tak sangka dia ni panas baran.
Tak sangka, bini aku ni lawa-lawa, jambu-mambu, tapi bila dia tidur…ngorok, dengkurnya satu flat boleh dengar!
Macam-macam lagilah kejutan-kejutan yang boleh berlaku di dalam awal-awal perkahwinan.
Apakah yang harus dilakukan?
Tidak lain, setiap pasangan yang baru berumahtangga, mestilah pandai menyesuaikan diri dengan keadaan dan suasana baru dalam alam perkahwinan. Banyak betul perkara yang harus dipelajari oleh suami dan isteri yang baru bernikah untuk membuat penyesuaian di peringkat awal perkahwinan.
Pertama, belajar sesuaikan diri dengan pasangan kita – kesukaannya, kebenciannya, kelemahannya dan kelebihan pasangan kita.
Kedua, sesuaikan diri dengan mentua. Ooi, ini yang paling mencabar, terutama di antara menantu perempuan dengan ibu mentua. Suami boleh jadi botak kalau hubungan isteri dan ibu sendiri retak.
Ketiga, dengan ipar-duai. Nak jaga jugak, kalau tidak, boleh jadi perang dayak. Atau, boleh berlaku perkara-perkara lain yang tidak diingini...!!!






