Benarkah bagai dikata, “ Takkan Melayu hilang di dunia? ”  Adakah adat tradisi Melayu masih dijunjung terutama sekali dalam majlis-majlis Merisik, Pertunangan dan Pernikahan orang-orang Melayu pada zaman moden ini? Walau apa pun, kami bawakan sedikit dari perbendaharaan klasik tradisi Melayu, Pantun Vintage Wakil Majlis, untuk tatapan golongan muda hari ini. Emm, masih pakai lagi Wakil Majlis ke? Saya yakin masih ada di kalangan anda yang pakai lagi. Mungkin Wakil Majlis tersebut adalah ibu bapa anda sendiri? Walau apa pun, kami ketengahkan di sini untuk yang sudi mencedok sebagai bahan menyerikan lagi majlis anda itu, silakan:

 

Pantun Merisik

 

Berapa tinggi si pucuk pisang,

Tinggi lagi asap api.

Berapa tinggi si Gunung Ledang,

Tinggi lagi harapan hati.

 

ššš

 

Sudah lama kami ke tasik,

Tali perahu terap belaka.

Sudahlah lama kami merisik,

Barulah kini bertemu muka.

 

ššš

 

Tinggi-tinggi si matahari,

Anak kerbau mati tertambat.

Sekian lami kami mencari,

Barulah sekarang kami mendapat.

 

ššš

 

Cenderawasih si burung sakti,

Singgah hinggap di atas karang.

Kasih berputik di dalam hati,

Dari dahulu sampai sekarang.

 

  ššš

 

Singgah berenang di persiraman,

Mayang berendam di dalam tasik.

Kumbang merindu bunga di taman,

Bintang merindu si cenderawasih.

 

ššš

 

Pantun Meminang

 

Bak kata orang...

Tuan menyimpan sekuntum bunga,

Bak intan di dalam peti.

 

Kami menyimpan seekor kumbang,

Sudah terpikat ke bunga tuan,

Hendak menyunting intan tuan,

Hendak bernaung di rumah ini,

Hendak menyambung tali darah,

Hendak mengikat tali keluarga.

Minta diterima hajat kami…

 

ššš

 

Pantun Menunai Janji

 

Anak ayam di atas pagar,

Turun ke tanah memakan padi.

Adat berhutang kami bayar,

Adat berjanji kami tepati.

 

Apa guna tanam keranji,

Kalau tidak manis menggula.

Takkan kami mahu berjanji,

Kalau tidak berani dikota.

 

ššš

 

Pantun Menerima Pinangan

 

Ambilkan saya buah delima,

Masak sebiji di balik daun.

Budi tuan saya terima,

Jadi kenangan bertahun-tahun.

 

Yang datang berulang-alik,

Yang pergi terbayang-bayang.

Yang bulat datang bergolek,

Yang pipih datang melayang.

 

ššš

  

{ Kajian & Susunan Kak Sue }

 1
Home     |     About KS     |     When & Where?    |     Register Now     |     Who's Who     |     Contact Us