Nasihat No.2: Sikap Kita Terhadap Perkahwinan
Cakap pasal bina masjid dalam kursus perkahwinan di masjid-masjid, saya biasa tanya para peserta, "Masjid yang di mana kita adakan kursus ini, boleh kita lihat, boleh kita pegang. Ianya 'tangible'. Masjid yang bakal awak bina ini pula bagaimana? Boleh dilihat? Boleh dipegang?" Jawapan yang lumrah, "Tentulah tidak." Saya tanya lagi, "Masjid yang manakah yang lebih payah untuk dibina – masjid yang dapat dilihat, dipegang, ataupun masjid yang tidak dapat dilihat atau dipegang?" Sebulat suara jawapan yang diberikan adalah "Tentulah masjid yang tidak dapat dilihat dan dipegang!"
"Kalau begitu, apakah sikap kita terhadap masjid kita sendiri yang bakal dibina ini? Adakah kita ini bersikap acuh tak acuh, endah tak endah, ataupun kita bersikap serius dan penuh komitmen terhadap masjid yang bakal kita bina ini?" Saya tanyakan lagi, "Apakah sikap kita terhadap kursus yang kita semua hadiri sekarang ni? Adakah kita setakat menghadirinya semata-mata untuk mendapatkan COE untuk mendapatkan COM (Certificate of Marriage)? Atau kita hadiri kursus sebegini untuk mendapatkan ilmu, pengetahuan dan kemahiran untuk menjadi suami dan isteri yang bertanggungjawab?
Sanggupkah kita membayar harga membina sebuah masjid dengan komitmen dan kerjakeras. Ya, nak kahwin kena kerja keras. Apabila dah kahwin nanti, lebih-lebih lagi kena kerja keras. Mana ada barang percuma di dunia ini? Semuanya ada harga. Apatah lagi harga sebuah masjid, sebuah rumahtangga, sebuah kasih-sayang untuk selamanya. Akar tunjangnya – SIKAP setiap bakal suami dan isteri. Sikap buruk, buruklah rumahtangga. Sikap baik, baiklah keluarga. Sikap cemerlang, gemilanglah segala isinya…InsyALlah.




